Harfiah cinta buatmu..
Hendak ku tujukan nukilan ini pada siapa, sayang belum bernama. Malam ini aku terpanggil untuk mencoretkan kalam tulus dari lubuk hati khas buatmu, lantaran rindu yang terlalu besar, tidak tertanggung oleh jiwa yang rapuh ini. Mudah-mudahan coretan ini bakal menjadi saksi kesetianku menunggu hadirmu.
Saat diri dahagakan sentuhan rohani, mencari-cari sinar abadi dari Ilahi, sanubariku bagai digamit suatu perasaan yang sukar terluahkan oleh kata-kata. Perasaan rindu yang teramat. tidak kutahu pada siapa, namun ku yakin engkau ada. Naluri mentafsirkan bahawa ini fitrah dan lumrah insani, mahu berkasih sayang, mahu disayangi dan dicintai. Persoalan siapa, di mana, bagaimana dirimu, seringkali mengasak mindaku. Terkadang buntu mencari jawapan. Sungguh! Aku berdebar menantikan jawapan rahsia jodoh dari Allah yang Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu, sebaik-baik perancang.
Tidak sabar menantikan detik bertemu. Mengharapkan kau turut merasakan debaran cinta. Walau di mana kau berada, ku panjatkan doa pada-Nya agar cinta kita terpelihara dalam rahmat dan kasih sayang-Nya. Ku bingkiskan salam rindu untukmu melalui-Nya. Dapatkah kau rasakan rindu itu pada saat ini? Mungkinkah kau juga sedang menanggung rindu yang sama? Kumpulkan dan simpanlah perasaan cinta dan rindu itu untukku. Labuhkanlah tatkala ijab dan kabul menjadi milik kita. Sama-sama nanti kita kecapi manisnya cinta yang diiringi restu-Nya dan orang tua. Redhakanlah kelebihan dan kekurangan ku melengkapi dirimu. relakanlah aku menjadi sayap kirimu. Lenturkanlah aku dengan akhlak dan keperibadian terpujimu. Agar tercium bauan syurga bagiku. Semoga cinta kita kekal mekar hingga ke syurga. Amin ya Allah.
ikhlas dariku,
Bakal zaujahmu.
awww... :P
ReplyDeletesy doakan yang terbaik utk awak. <3
aminnn :)
ReplyDeleteterima kasih daun keladi,
ReplyDeletesemoga cintamu kekal abadi ^^